11/24/08

Selamat Menjadi Tetamu Allah

Saya mengucapkan selamat jalan kepada muslimin dan muslimat yang telah dan akan berangkat ke tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadah fardhu haji. Semoga mereka mendapat haji yang mabrur.

Ibadah haji difardhukan sekali dalam seumur hidup kepada seorang muslim yang berkemampuan. Ia satu ibadah yang memerlukan kekuatan kewangan, rohani, fizikal dan ilmu yang tinggi.

Kepada yang akan pergi setelah cukup kewangan, mereka hendaklah menyiapkan diri dalam aspek rohani, fizikal dan ilmu. Bagi yang belum cukup kewangan, mereka hendaklah meletakkan azam yang tinggi untuk melakukan ibadah tersebut, insyaAllah akan terbuka pintu-pintu rezki.

Haji adalah merupakan satu ibadah yang agak kompleks, ia melibatkan aktiviti dan pergerakan yang banyak yang berupa rukun, wajib, sunnah dan sbgnya. Oleh itu, ia menuntut sedikit kefahaman yang mendalam agar ibadah yang dilakukan menjadi sempurna.

Seperkara lagi, orang yang bermusafir menunaikan haji ini adalah merupakan tetamu Allah. Tidak seperti mereka yang ke US, England, Eropah dll yang menjadi tetamu manusia. Tetamu Allah akan menemui ujian yang pelbagai daripada Allah sebagai penapisan kualiti keimanan mereka. Ini menuntut kekuatan rohani dan emosi yang tinggi.

Tunailah haji diusia muda agar dapat melakukan ibadah tersebut dengan kesempurnaan. Tawaf, saie, wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan Mina di khemah-khemah yang kurang sempurna, melontar ketiga-tiga jamrah bahkan perjalanan yang jauh untuk ke Mekah dan ziarah di Madinah adalah aktiviti-aktiviti yang amat meletihkan dan sangat mencabar fizikal kita.

Satu perkara yang menjadi kenikmatan bagi saya semasa menunaikan fardhu haji pada tahun 2002 dahulu ialah membaca sejarah hidup nabi Muhammad SAW di dalam Masjid Al Haram dan Masjid Nabawi. Saya cuba membayangkan setiap peristiwa yang berlaku dan suasana perjuangan yang dilalui oleh baginda bersama para sahabatnya.

Selamat menjadi tetamu Allah.

No comments: