11/25/09

Adakah Ikhwan Dengan Hanya Amal Ikhwani ?



Ada beberapa blog yang saya baca mengembar-gemburkan bahawa yang penting adalah amal ikhwani dan mengamalkan fikrah-fikrah Imam Syahid Hasan AlBanna bukan keanggotaan kepada Ikhwan Muslimin. Pandangan ini sebenarnya bukan baru, tetapi telah muncul di sepanjang sejarah Ikhwan Muslimin di mana-mana negara pun.

Biasanya pandangan ini lahir dari kalangan mereka yang sudah tidak dapat bersama mainstream gerakan ikhwan.

Para pembaca boleh mendapatkan huraian lanjut bagi menjawab persoalan ini dalam artikel pada capaian berikut :

http://fikrah-dakwah.blogspot.com/2009/11/ikhwan-mengajar-ketidak-taatan-kepada.html

11/12/09

Fenomena Fiqh Tanpa Dalil

Antara hujah utama kumpulan salafi kepada amalan umat Islam di Malaysia ialah mentaqlid Mazhab Syafie tanpa dalil dan hujah. Taqlid seumpama ini bagi mereka adalah dianggap taqlid buta. Fenomena kritikan seperti ini berlaku disemua negara umat Islam.

Bagi saya, ianya adalah bersifat pendekatan pengajaran. Kalau kita membaca sejarah perkembangan ilmu Islam seperti aqidah, nahu dan fiqh kita akan mendapati ilmu-ilmu ini melalui beberapa fasa yang utama iaitu :

1. Quran dan hadis di zaman Rasulullah
2. Penambahan ijtihad para sahabah dan tabiin
3. Pembentukan mazhab oleh imam-imam yang besar
4. Perluasan ijtihad di setiap mazhab bedasar methodologi imam-imam
5. Ringkasan terhadap keseluruhan ijtihad dan fatwa yang sangat luas
6. Ringkasan dalam bentuk matan agar mudah dihafal
7. Syarah kepada matan tersebut
8. Hasyiah (syarah kpd syarah matan)

Dari sejarah tersebut kita dapati bahawa pada peringkat ke lima dan seterusnya hampir sebahagian besar fakta ilmu yang disampaikan tidak disertakan dalil kerana untuk tujuan pendidikan dan keterbatasan masyarakat untuk mengambil ilmu dari sumber yang terlalu luas. Masyarakat belajar dan mengamalkannya turun temurun dengan penuh keyakinan terhadap mazhab yang di pegang oleh ulamak negara mereka. Mereka yakin bahawa semua yang dilakukan adalah berdasarkan dalil dan methodologi yang sangat ketat.

Amalan bermazhab sebegini bagaimanapun berikutnya menimbulkan taasub bahawa mazhab mereka sahaja betul dan mazhab lain salah kerana mereka tidak melihat perbezaan-perbezaan yang wujud dari asas dalil. Bila fenomena ini berlaku, maka ramai yang menyalahkan kaedah pengajaran ilmu tanpa dalil ini. Maka timbul lah ajakan kepada membebaskan diri dari taqlid, terus merujuk quran sunnah, tak perlu mazhab dan sebagainya.

Perseteruan bukan lagi antara mazhab-mazhab tetapi antara yang berpegang kpd mazhab dengan yang tanpa mazhab.

Kalau kita melihat senario apa yang telah saya bentangkan tadi ada sekurang-kurangnya 2 perkara yang perlu kita insafi
1. Untuk mengatakan bahawa fakta-fakta ilmu yang diamalkan oleh masayarakat hari ini tidak bersandarkan dalil adalah tidak benar kerana perkembangan ilmu di fasa ke lima dan seterusnya adalah dari fasa pertama hingga keempat yang padat dengan perbincangan dalil.
2. Untuk mengatakan bahawa mazhab yang sudah ada kini adalah telah lengkap dan kita tidak memerlukan pandangan di luar mazhab juga tidak tepat kerana tabiat Islam yang syumul dan waqie mununtut umat Islam untuk terus berfikir mencari penyelesaian terhadap keperluan kehidupan yang kadang-kadang kita terpaksa berfikir diluar kotak satu mazhab.

Oleh itu yang penting ialah kita berlapang dada dengan perbezaan sesama umat Islam dan tumpuan semestinya ditumpukan kepada umat Islam yang belum mengamalkan Islam dan kepada yang belum Islam agar mereka rasa terbimbing untuk menganut agama yang suci ini.

Kita Hilang Keutamaan Berfikir dan Bertindak

Seorang sahabat saya Prof Mohd Nazari Ismail, Profesor di bidang perniagaan antarabangsa di Universiti Malaya telah memberi satu komen tentang apa yang berlaku kepada Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Berikut catatan beliau :

saya merasa sangat sedih melihat keadaan konflik ini yang semakin teruk.
bagi saya ramai alim ulamak Melayu masih sibok dengan isu remeh temeh. kemudian akhirnya bergaduh sesama sendiri dalam hal yang bukannya isu pokok.

Sebagai contoh, jutaan manusia termasuk umat islam di Malaysia sendiri sedang merana kerana menjadi mangsa sistem riba. sistem ini masih kuat dan masih dipertahankan. dan ianya menjadi unsur utama kepada masaalah2 lain seperti krisis hutang dikalangan umat islam, perpecahan keluarga, kadar jenayah yang meningkat dan berbagai2 masaalah lagi.

malangnya tak ramai alim ulamak yang menjadikan isu sistem riba ini sebagai isu utama. Lihat di sekeliling kita dan kita akan jelas nampak tokey riba berugama islam di malaysia bebas bergerak dan memperkembangkan industri mereka. mereka memberi ucapan di merata2 tempat dan mendapat liputan akhbar. Bahkan ramai mendapat gelaran dato' dan tan sri walau pun mereka bergelumang dalam dosa besar yang disebut oleh Nabi S.A.W sebagai lebih teruk dari dosa zina.

Tetapi jarang kita dengar mereka dikutuk oleh alim ulamak Melayu dengan lantang. Memang ada alim ulamak yang sedar dan mengutuk riba dan tokey riba. Tetapi nampaknya lebih ramai lagi yang sedang sibok mengutuk sesama sendiri berkenaan isu2 furu'.

Saya sendiri ada perbezaan pendapat dengan Dr. Asri berkenaan banyak isu. Namun saya rasa masalah Dr. Asri adalah kecil berbanding dengan masalah lain yang melanda masyarakat kita. Bagi saya tokey riba dan mereka yang mengajar ilmu riba adalah jauh lebih bahaya berbanding dengan beliau.

Saya bimbang rakyat islam yang jahil ugama akan semakin hilang thiqah kepada alim ulamak Melayu kerana konflik ini. Mungkin orang bukan Islam pun hilang hormat kepada umat Islam malaysia sebab kita asyik gaduh sesama sendiri. Puak UMNO gaduh sesama UMNO. UMNO juga gaduh dengan PAS. Puak2 PAS juga gaduh sesama sendiri. Sekarang ulamak yang tak ahli politik pun gaduh sesama sendiri. Tapi kita orang Islam selalu bagitahu orang bukan Islam bahawa Islam adalah satu-satunya ugama yang boleh menjamin perpaduan ummah! Kartun tak?

Alim ulamak sepatutnya memberi panduan kepada masyarakat supaya mereka nampak bagaimana Islam boleh menyelesaikan masaalah sosial, moral, ekonomi dan kewangan yang begitu serius yang sedang melanda manusia sekarang. Adakah ini sedang dilakukan dengan gigih oleh alim ulamak Melayu atau adakah mereka sedang gigih mengutuk sesama sendiri?

Saya bukan nak mengutuk sesiapa cuma sekadar mintak kita semua memikirkan atau mengintrospeksi kan keadaan permasalahan Islam di Malaysia sekarang dan cuba membezakan antara isu pokok dan isu yang tidak pokok.
Allahua'lam. Ribuan maaf kalau terkasar bahasa.

Mohd Nazari Ismail, PhD.
Professor
Faculty of Business and Accounting
University of Malaya

http://profnazari.blogspot.com/

11/7/09

Sٍaya Kehilangan Seorang Lagi Sahabat

Pada malam semalam, saya menerima sms dari Ustaz Rosli Mokhtar yang berbunyi 'Dr Farid Ansori meninggal'. Fikiran saya mula mencari-cari siapakah orang yang dimaksudkan oleh Ustaz Rosli. Terkeluarlah satu gambaran susuk tubuh seorang insan dalam kotak pemikiran saya. Ingatan saya terhadap insan tersebut terbukti benar apabila berikutnya saya menelefon Ustaz Rosli.

Saya mula mengenali almarhum semasa saya di tahun satu pengajian di Universiti Mohamed V, Rabat, Morocco. Ketika itu beliau sedang menyiapkan kerja2 terakhir thesis master pengajian Islam. Semasa saya di tahun dua hingga empat pengajian sarjanamuda, beliau sibuk pula menyiapkan thesis Phd. Beliau seorang yang gigih dan rajin, banyak membaca, luas ilmu pengetahuan Islam, menguasai ilmu-ilmu teras, alim dalam fiqh dan usul, aktif dalam dakwah dan rajin menulis. Kelibat beliau pasti ada dalam setiap wacana ilmu Pengajian Islam di Universiti sebagai pembicara, pembentang dan pemberi komentar. Beliau membesar dalam suasana segar kesarjanaan ilmu-ilmu fiqh, hadis, usul fiqh dan maqasid syariah bersama Syeikh-syieikh Dr Farouq Hamadah, Dr Raisuni dan Dr Arrugi, Dr Sa'duddin Uthmani dll.

Semangat-semangat mereka sangat mengesani jiwa saya dan memberi satu dimensi yang sangat dinamik dalam saya meneroka ilmu-ilmu Islam. Azam untuk saya mendaki setinggi mungkin tahap pengajian adalah saya perolehi dari mereka termasuklah almarhum.

Al Marhum Dr Farid telah memberikan sumbangan yang banyak kepada gerakan ilmu Islam dan ada banyak lagi yang beliau boleh sumbangkan. Tetapi Allah lebih mengetahui untuk mengambil beliau dari kita pada usia yang muda iaitu 49 tahun.

ٍKita mesti merebut usia yang berbaki kepada kita untuk beramal sebanyak mungkin dan meninggalkan perkara-perkara yang baik untuk generasi akan datang sebagai amal jariah kita.

Selamat jalan Almarhum Dr Farid AlAnsori menuju Rabb AlJalil. Semoga almarhum dihimpun bersama orang yang soleh dan kita akan ikut sama nanti dalam himpunan tersebut.

Berikut ini saya petik beberapa maklumat tentang berita dan peribadi almarhum.

وفاة الشيخ العلامة فريد الأنصاري

انتقل إلى رحمة الله مساء الخميس 5-11-2009 الشيخ العلامة الدكتور فريد الأنصاري بتركيا حيث كان في رحلة علاجية، بحسب مقربين منه. وسيتم نقل جثمان المرحوم إلى المغرب السبت 7-11-2009 ثم ستشيع جنازته الأحد،
بمدينة مكناس على أن تقام صلاة الجنازة بمسجد "الروى" قبل أن يوارى الثرى في مقبرة الزيتون.

ولد الدكتور فريد الأنصاري بإقليم الراشدية جنوب شرق المغرب سنة 1380 هجرية الموافق لسنة 1960م.
حاصل على :
إجازة في الدراسات الإسلامية من جامعة السلطان محمد بن عبد الله – كلية الآداب فاس.-
- دبلوم الدراسات العليا-الماجستير- في الدراسات الإسلامية تخصص أصول الفقه من جامعة محمد الخامس – كلية الآداب الرباط.
- دكتوراة الدولة في الدراسات الإسلامية تخصص أصول الفقه من جامعة الحسن الثاني – كلية الآداب المحمدية

عضو مؤسس لمعهد الدراسات المصطلحية التابع لكلية الآداب و العلوم الإنسانية.
أستاذ لكرسي التفسير بالجامع العتيق بمدينة مكناس.
رئيس لقسم الدراسات الإسلامية بكلية الآداب جامعة المولى إسماعيل بمدينة مكناس.
أستاذ لأصول الفقه و مقاصد الشريعة بجامعة المولى إسماعيل بمدينة مكناس.
رئيسا لوحدة الفتوى و المجتمع و مقاصد الشريعة لقسم الدراسات العليا بجامعة المولى إسماعيل بمدينة مكناس.

بعض إنجازاته العلمية:
التوحيد و الوساطة في التربية الدعوية,
أبجديات البحث في العلوم الشرعية,
المصطلح الأصولي عند الشاطبية
...
بعض إنجازاته الأدبية:
ديوان القصائد,
جداول الروح,
ديوان الإشارات.

Penangkapan yang tidak wajar

Ramai rakan dan pelajar bertanyakan kepada saya tentang penangkapan Dr Mohd Asri oleh JAIS. Pembaca boleh melihat pendangan awal saya dalam akhbar maya 'Malaysia Harmoni' pada pagi sebelum Dr Mohd Asri di bawa ke mahkamah syariah.

Berikut link akhbar tersebut.

http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/nasional/nasional-category/142-tangkapan-tidak-sepatutnya-berlaku-dr-azhar-

11/6/09

Adakah Anda Akan Berkorban ?

Satu perkara yang menjadi ingatan manis buat saya sepanjang 5 kali berhari raya aidil adha di Morocco ialah setiap rumah disana akan membuat korban sekurang-kurangnya seekor kambing. Masyarakat arab Morocco bukanlah dari kalangan mereka yang senang seperti masyarakat arab di negara-negara teluk. Ada kalangan mereka yang kais pagi makan pagi, tetapi tetap menyembelih korban pada pagi hari raya tersebut.

Pada pandangan saya, masyarakat muslim di Malaysia jauh lebih senang daripada masyarakat di Morocco. Tapi apa yang mendukacitakan saya ialah menyembelih korban bukan menjadi amalan kita di sini. Para pembaca boleh perhatikan jumlah yang ikut korban nanti di Masjid dan surau. Satu masjid yang besar yang masyrakat islam disekelilingnya berjumlah ratusan ribu hanya berkorban 10 ekor lembu. Yang bermakna hanya 70 orang sahaja yang terlibat berkorban. Katakanlah jika dicampur semua surau yang ada disitu jumlah lembu yang dikorban sebanyak 100 ekor. Maknanya baru 700 orang yang berkorban. Dimana yang lain ?.

Saya menyeru kepada pembaca terutamanya pelajar2 saya yang telah berkerja. Marilah kita berkorban pada tahun ini. Fiqh membenarkan kita berkorban satu keluarga untuk satu bahagian. Marilah kita mengejar ganjaran yang besar dari korban.

Saya catatkan dibawah ini pensyariatan dan kelebihan berkorban untuk ingatan kita bersama.

Pensyariatan Qurban

1.Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 :
Maksudnya : "Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

2.Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 :
Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".

3.Sabda Rasulullah S.A.W.:
Maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat Tirmidzi)

FADHILAT IBADAH QURBAN

Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban ini amat besar antaranya:

1.Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".
(Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

2.Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah:
Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".
(Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

3.Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.
Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla."
(Hadis riwayat Thabrani)

4.Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:
Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."
(Hadith riwayat Tirmidzi)

5.Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".

11/1/09

1 Dasar Kerajaan Yang Membebankan

Ada satu keputusan kerajaan atau MITI pada minggu lalu yang sangat mengecewakan saya iaitu dasar pemeriksaan mandatori di Puspakom kereta yang melebihi 15 tahun.

Ini kerana saya memiliki kereta Honda Accord 1.6 keluaran tahun 1982 yang berusia 27 tahun. Kereta ini masih baik dan saya gunakan untuk keperluan harian di sekitar Bukit Beruntung. Untuk perjalanan jauh, saya mempunyai kereta lain yang dapat memuatkan saya, isteri dan 7 orang anak.

Kereta ini mempunyai sentimental value buat saya kerana saya beli dengan gaji saya dibulan2 awal bekerja. Kereta itu juga saya beli untuk memudahkan saya membawa anak sulung saya yang baru lahir. Sebelum itu, saya dan isteri hanya menggunakan motor yamaha CDI 70cc.

Tapi yang lebih penting dari itu, jika sekiranya saya 'trade in' kereta tersebut dengan kereta baru proton atau perodua yang berharga sekitar RM 40 ribu, maka saya perlu berhutang membayar RM500 selama 9 tahun. Ini satu beban yang mesti saya tanggung. Wang sebanyak itu lebih baik saya gunakan untuk simpanan masa depan, atau pendidikan anak2 atau sedeqah jariah kepada mana2 institusi Islam yang produktif.

Bagi banyak orang, hutang kenderaan ini adalah kepada institusi kewangan konvensional yang asas kontraknya riba. Riba adalah satu dosa besar yang sangat dimurkai Allah yang lebih hina 36 kali ganda dari zina.

Alasan2 kerajaan untuk menjustifikasikan dasar ini seperti kadar kemalangan yang tinggi dan pencemaran alam adalah tidak disokong oleh data yang jelas.

Bagi saya, sebab utama dasar ini adalah untuk melindungi industri automotif negara. Tapi dlm keadaan kepercayaan rakyat yang rendah kepada proton dan perodua akan menyebabkan toyota, honda dan nissan yang mengaut keuntungan besar.

Apakah pula jaminan kerajaan bahawa tidak akan berlaku unsur-unsur rasuah, ulat dan orang tengah dalam pemeriksaan kereta2 lama ini di puspakom. Sejarah syarikat tersebut adalah mengecewakan dan tidak boleh dipercayai.

Saya menyeru kerajaan, MITI dan YAB Perdana Menteri agar mengotakan motto 'rakyat didahulukan' dengan menarik dasar ini. Jika kerajaan meneruskan dasar membuang kereta lama untuk menjana industri kereta baru, saya yakin rakyat dalam pilihanraya akan datang akan membuat dasar 'membuang kerajaan lama untuk digantikan dengan kerajaan baru'.

Keluhan ini bukan dari saya seorang tetapi kesemua yang saya temui yang mempunyai keadaan seperti saya.