12/31/08

Trajedi Di Genting Gaza

Israel kembali mengganas di bumi Palestine. Beratus nyawa melayang dan ribuan cedera.

Umat Islam yang prihatin sewajarnya mendoakan kesejahteraan sahabat-sahabat seagama di sana, Kita juga sewajarnya membantu mereka daripada segi kewangan. Mereka sangat memerlukan makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan ubat-ubatan.

11/24/08

Selamat Menjadi Tetamu Allah

Saya mengucapkan selamat jalan kepada muslimin dan muslimat yang telah dan akan berangkat ke tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadah fardhu haji. Semoga mereka mendapat haji yang mabrur.

Ibadah haji difardhukan sekali dalam seumur hidup kepada seorang muslim yang berkemampuan. Ia satu ibadah yang memerlukan kekuatan kewangan, rohani, fizikal dan ilmu yang tinggi.

Kepada yang akan pergi setelah cukup kewangan, mereka hendaklah menyiapkan diri dalam aspek rohani, fizikal dan ilmu. Bagi yang belum cukup kewangan, mereka hendaklah meletakkan azam yang tinggi untuk melakukan ibadah tersebut, insyaAllah akan terbuka pintu-pintu rezki.

Haji adalah merupakan satu ibadah yang agak kompleks, ia melibatkan aktiviti dan pergerakan yang banyak yang berupa rukun, wajib, sunnah dan sbgnya. Oleh itu, ia menuntut sedikit kefahaman yang mendalam agar ibadah yang dilakukan menjadi sempurna.

Seperkara lagi, orang yang bermusafir menunaikan haji ini adalah merupakan tetamu Allah. Tidak seperti mereka yang ke US, England, Eropah dll yang menjadi tetamu manusia. Tetamu Allah akan menemui ujian yang pelbagai daripada Allah sebagai penapisan kualiti keimanan mereka. Ini menuntut kekuatan rohani dan emosi yang tinggi.

Tunailah haji diusia muda agar dapat melakukan ibadah tersebut dengan kesempurnaan. Tawaf, saie, wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan Mina di khemah-khemah yang kurang sempurna, melontar ketiga-tiga jamrah bahkan perjalanan yang jauh untuk ke Mekah dan ziarah di Madinah adalah aktiviti-aktiviti yang amat meletihkan dan sangat mencabar fizikal kita.

Satu perkara yang menjadi kenikmatan bagi saya semasa menunaikan fardhu haji pada tahun 2002 dahulu ialah membaca sejarah hidup nabi Muhammad SAW di dalam Masjid Al Haram dan Masjid Nabawi. Saya cuba membayangkan setiap peristiwa yang berlaku dan suasana perjuangan yang dilalui oleh baginda bersama para sahabatnya.

Selamat menjadi tetamu Allah.

11/19/08

Diskaun 10% Tol PLUS

Kita dimaklumkan oleh kerajaan bahawa pengendali lebuhraya PLUS akan memberi diskaun 10% kepada pengguna yang menggunakannya hanya dari jam 12 mlm hingga 7 pagi.

Saya tidak berdaya untuk mengetahui keikhlasan pihak pengendali mahupun kerajaan yang memerintah. Tetapi keadaan ini seolah-olah menggalakkan rakyat menggunakan lebuhraya pada masa tersebut.

Ini sangat bertentangan dengan fitrah manusia yang memerlukan kerihatan pada masa tersebut. Allah menciptakan malam adalah untuk manusia berehat. Ini sebagaimana dinyatakan dalam ayatNya Surah An Naba' ayat 10 " Dan kami jadikan malam untuk berehat"

Sudahlah apa yang sedia ada sekarang menggalakkan kita tidur lewat seperti pembukaan kedai, pasar malam, dan restoran sehingga larut malam bahkan sehingga 24 jam. Rancangan TV semakin mengasyikkan apabila larut malam juga telah mengheret ramai orang untuk terus menonton dan berjaga malam. Juga sebelum ini apabila kerajaan berusaha menurunkan harga barang telah memperkenalkan dasar operasi perniagaan pasaraya besar hingga 12 mlm.

Apa akan jadi pada rakyat kita ?. Tunggang terbalik fitrah mereka. Siang sepatutnya membanting tulang mencari rezeki. Dan malam hari pula bersama keluarga, mengaji alquran, melihat pelajaran anak, beribadah berjemaah, tidur, berehat dan qiamullail.

Wallahua'lam

11/14/08

Ayah Pin Kembali Ke Kampung

Ketua Polis Negara mengesahkan bahawa Ayah Pin telah kembali kekampung halamannya di Besut, Trengganu. Tetapi beliau tidak ditangkap kerana tidak mendapat arahan daripada pihak berkuasa Agama Islam Trengganu.

Ini berbeza dengan kes Raja Petra, dimana beliau ditangkap dibawah ISA kerana didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

Mungkin perundangan Islam berbeza diantara 2 buah negeri iaitu di Selangor dan Trengganu.

NGO Mempertikai Fatwa

Beberapa NGO telah mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang berkaitan dengan pengkid dan yoga.

Majlis Fatwa Kebangsaan dianggotai oleh mereka yang berkeahlian dalam bidang kepercayaan dan perundangan Islam. Oleh itu mana-mana pihak yang tidak berpuashati hendaklah melakukan perbincangan dengan majlis ini.

Majlis ini adalah antara badan yang tertinggi berkaitan Islam di negara kita. Fatwa yang telah diterima jika berikutnya di terima oleh majlis fatwa negeri dan seterusnya di gazetkan doperingkat negeri, maka ia boleh kuatkuasakan secara undang-undang. Badan ini mesti dihormati oleh rakyat negara ini.

Cuma kita juga meminta agar majlis ini lebih berani untuk mengeluarkan fatwa-fatwa yang lebih menyentuh perkara dasar dan melibatkan majoriti besar umat Islam seperti pengharaman riba dalam sistem dan produk kewangan yang terdapat dinegara kita.

Tidak bersetuju dengan majlis fatwa bukanlah dengan berdemontrasi tetapi dengan bermuzakarah dan perbincangan.

11/10/08

Sajak Kematian

Apa yang saya difahamkan bahawa sajak kematian adalah dokumentari tentang kematian dan apa yang berlaku dialam kubur. Video ini telah dipertontonkan kepada pelajar-pelajar termasuk mereka yang berumur 7 dan 8 tahun iaitu didarjah 1 dan 2. Guru-guru melakukan ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar dalam program-program motivasi atau penghayatan Islam.

Timbul satu masalah iaitu beberapa ibu bapa yang mempertikaikan tindakan guru dan sekolah ini dengan alasan bahawa ia telah menimbulkan ketakutan dikalangan anak-anak mereka. Hal ini telah mendapat liputan TV3 dan telah diulas oleh Timbalan Menteri Palajaran.

Pihak guru pula terutamanya guru Pendidikan Islam telah mempertahankan usaha penayangan itu dengan alasan ia satu kaedah yang mudah untuk menjelaskan satu fakta yang abstrak berkenaan dengan kematian dan penghidupan di alam kubur. Berbeza dengan kaedah syarahan yang tidak dapat difahami dengan baik oleh pelajar. Guru juga menyatakan bahawa ini adalah cara yang dilihat agak berkesan untuk memberi kesedaran kepada pelajar agar kembali kepangkal jalan dan menghayati ajaran Islam.

Pada pandangan saya, penayangan video tersebut tidak menjadi masalah. Kalau alasan keluarga bahawa ia telah menimbulkan ketakutan dikalangan pelajar, kita perlu mendefinasikan istilah 'takut' tersebut secara betul.

Takut dalam bahasa arab adalah 'khauf'. Ia adalah satu konsep penting dalam pengabdian yang mutlak kepada Allah. Ajaran Islam memang berkehendakkan manusia mengingati mati dan seterusnya sentiasa bersedia menghadapinya sebagai satu yang pasti. Ini adalah tafsiran yang betul tentang 'takut mati'. Begitu juga istilah 'takutkan Allah' dengan kita melaksanakan apa yang disuruh dan meninggal apa yang dilarang.

Apa yang saya perhatikan dalam media TV, terdapat beberapa rancangan yang menyajikan cerita atau dokumentasi tentang hantu. Ia telah menimbulkan ketakutan bukan sahaja kepada kanak-kanak bahkan juga orang dewasa. Ketakutan seperti ini adalah salah dan tidak berasas kerana ia berdasarkan khayalan pengarah atau penerbit dan ia kebanyakannya menggalakkan unsur-unsur khurafat. Rancangan yang seperti itu sepatutnya diharamkan.

Oleh itu, penayangan tersebut tidak menjadi masalah dengan syarat guru berniat ikhlas untuk mendidik pelajar menjadi insan yang kembali kepada Penciptanya. Tidak cukup guru hanya untuk menakutkan pelajar dan seterusnya untuk melihat mereka menangis. Tetapi mesti melampaui semua itu iaitu perasaan seorang murabbi kepada anak didiknya.

Wallahua'lam.

11/5/08

Akaun Emas di Bank

Ramai orang bertanya tentang perkara ini.
Berikut saya berikan jawapan daripada Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Setelah melihat serba ringkas info akaun pelaburan emas di kedua-dua bank (Public Bank dan Maybank) terbabit melalui web mereka. Saya kira Maybank menawarkan akaun pelaburan emas yang HALAL dengan TIGA lagi syarat tambahan lagi, iaitu :
1- JANGAN DIGUNAKAN UNTUK AKTIVTI RIBA : mestilah emas sebenar (fizikal) yang berada simpanannya bagi pihak pelanggan tadi TIDAK digunakan untuk kegunaan aktiviti ribawi mereka. Justeru, satu jaminan atau pengesahan dari pihak bank mestilah diperolehi sama ada secara lisan atau bertulis atau disahkan oleh Majlis Syariah bank berkenaan. Apabila kita menyimpan emas fizikal yang telah kita beli di bank tersebut, aqad simpanan itu juga sepatutnya mesti dikenal pasti dengan jelas. Apakah jenis aqadnya? Adakah ia Wadiah? atau Qard dan sebagainya.
2- JUMLAH EMAS MENCUKUPI KETIKA TRANSAKSI : Mestilah dipastikan wujud jumlah emas mencukupi ketika proses jual beli dibuat pada satu-satu masa. Maksud saya, sebagai contoh : Bank mempunyai 100 kilo emas sahaja, dalam masa yang sama (satu waktu), 100 kilo emas itu digunakan untuk dua atau lebih pelanggan yang berlainan. Pelanggan Ahmad membeli 100 kilo emas pada jam 2.30 petang, demikian juga sdr Ah Chong tepat jam 2.30 petang juga membeli dan membuka akaun yang sama di kaunter berlainan, padahal bank hanya mempunyai 100 kilo emas sahaja. Tatkala itu, transaksi orang kedua tidak sah. Hanya yang pertama sahaja yang sah.
3- CARA PEMBAYARAN YANG HALAL : Pembayaran yang dibuat oleh pihak pelanggan pula WAJIBLAH menggunakan sama ada tunai, debit akaun sertamerta, kad debit dan kad kredit Islam bank tempatan, cek tempatan. Sebarang pembayaran menggunakan cek antarabangsa dan kad kredit Islam yang mengambil masa lebih 3 hari untuk settlement adalah TERLARANG menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa. Mengapa 3 hari? ia adalah tempoh maksimum menurut ‘uruf bagi memastikan syarat ‘Taqabud fil hal' tercapai, ia adalah fatwa yang dipetik dari pandangan Mazhab Maliki dan juga fatwa kebanyakan ulama fiqh sedunia, termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah. 4- PEMEGANG AKAUN PELABURAN EMAS MESTILAH MEMBAYAR ZAKAT : Apabila cukup hawl atau tempoh setahun bulan Islam dan apabila nisab simpanannya mencapai atau melebihi nisab wajib keluar zakat emas iaitu 85 gram. Untuk kira-kira buka di sini. Namun akaun pelaburan Public Bank saya kurang pasti kerana tidak dinyatakan sama ada sijil atau bukti pembelian itu boleh ditukarkan kepada emas fizikal pada bila-bila masa yang dikehendaki. Malah penyoal menyatakan beliau telah menelefon pihak bank dan terbukti sijil atau bukti pembelian itu tersebut TIDAK BOLEH ditukar kepada emas fizikal. Tatkala itu, bagi saya transaksi ini bermasalah dari sudut hukum Islam. Jika sijil tersebut tidak boleh ditukar kepada emas fizikal, tatkala itu ia memberikan kesan kepada proses ‘Taqabud al-hukmi' yang disyaratkan dalam jual beli item ribawi dan merosakkan aqad ini, dalam kes ini antara emas dan wang Ringgit Malaysia.
KESIMPULAN Bagi sesiapa yang ingin membuka akaun ini, saya nasihatkan menyemak terlebih dahulu perkara yang telah saya sebutkan di atas. Ditambah pula, akaun pelaburan emas dan kijang emas ini tidak diletakkan di bawah skim pelaburan Islam maybank dan public bank. Ia sekali lagi menimbulkan tandatanya. Saya tidak ada kemudahan untuk menyemak hal itu ketika ini kerana kesukaran komunikasi dengan pihak bank terbabit, terutamanya berada di perantauan. Jika anda sudah punyai jawapan kepada syarat dan persoalan yang saya utarakan di atas. Baik jika dapat anda memaklumkan kepada saya dengan tepat dan jitu. Saya juga berminat untuk membuka akaun ini jika semua persoalan di atas telah LULUS.

Sekian Zaharuddin Abd Rahman http://www.zaharuddin.net/

Mufti Negara

Pagi ini di Parlimen Malaysia kembali bangkit isu Mufti Negara. Ini mengingatkan kita kepada cadangan Ketua Pengarah IKIM untuk jawatan tersebut.

Saya rasa jawatan tersebut adalah tidak perlu kerana beberapa sebab :
1. Setiap negeri yang mempunyai raja dan sultan telah mempunyai mufti. Dalam perlembagaan negara kita, urusan agama adalah didalam senarai negeri iaitu dibawah sultan/raja yang memerintah. Kerajaan Persekutuan agak terbatas bidangkuasanya dalam ehwal agama. Mufti Negara semestinya dibawah kerajaan persekutuan.
2. Antara tugas utama Mufti Negara sebagaimana yang dicadangkan adalah untuk mengeluarkan fatwa diperingkat negara. Peranan ini telah dimainkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai oleh kesemua mufti.
3. Dalam keadaan Islam dan hukum-hukumnya tidak mempunyai kuasa sepenuhnya dalam negara, maka jawatan tersebut bukanlah satu perkara yang menjadi keutamaan untuk diperjuangkan.

Wallahua'lam

Kemenangan Obama

Kita memberi sedikit harapan kepada kemenangan Obama sebagai presiden Amerika. Beliau yang mempunyai susur galur dari keluarga Islam dan pernah hidup disebuah negara Islam iaitu Indonesia di harap akan lebih lunak dengan Islam dan negara umat Islam.

Kita mengharap kemenangan Obama kerana rasanya beliau lebih baik dari lawannya McCain. Dalam satu kaedah usul iaitu kita mengambil yang " akhaffu dhorarain" (yang paling ringan kemudharatan).

Wallahua'lam

11/4/08

Salam Perkenalan

Dengan Bismillahirahmanirrahim saya mulakan blog saya ini