Apa yang saya difahamkan bahawa sajak kematian adalah dokumentari tentang kematian dan apa yang berlaku dialam kubur. Video ini telah dipertontonkan kepada pelajar-pelajar termasuk mereka yang berumur 7 dan 8 tahun iaitu didarjah 1 dan 2. Guru-guru melakukan ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar dalam program-program motivasi atau penghayatan Islam.
Timbul satu masalah iaitu beberapa ibu bapa yang mempertikaikan tindakan guru dan sekolah ini dengan alasan bahawa ia telah menimbulkan ketakutan dikalangan anak-anak mereka. Hal ini telah mendapat liputan TV3 dan telah diulas oleh Timbalan Menteri Palajaran.
Pihak guru pula terutamanya guru Pendidikan Islam telah mempertahankan usaha penayangan itu dengan alasan ia satu kaedah yang mudah untuk menjelaskan satu fakta yang abstrak berkenaan dengan kematian dan penghidupan di alam kubur. Berbeza dengan kaedah syarahan yang tidak dapat difahami dengan baik oleh pelajar. Guru juga menyatakan bahawa ini adalah cara yang dilihat agak berkesan untuk memberi kesedaran kepada pelajar agar kembali kepangkal jalan dan menghayati ajaran Islam.
Pada pandangan saya, penayangan video tersebut tidak menjadi masalah. Kalau alasan keluarga bahawa ia telah menimbulkan ketakutan dikalangan pelajar, kita perlu mendefinasikan istilah 'takut' tersebut secara betul.
Takut dalam bahasa arab adalah 'khauf'. Ia adalah satu konsep penting dalam pengabdian yang mutlak kepada Allah. Ajaran Islam memang berkehendakkan manusia mengingati mati dan seterusnya sentiasa bersedia menghadapinya sebagai satu yang pasti. Ini adalah tafsiran yang betul tentang 'takut mati'. Begitu juga istilah 'takutkan Allah' dengan kita melaksanakan apa yang disuruh dan meninggal apa yang dilarang.
Apa yang saya perhatikan dalam media TV, terdapat beberapa rancangan yang menyajikan cerita atau dokumentasi tentang hantu. Ia telah menimbulkan ketakutan bukan sahaja kepada kanak-kanak bahkan juga orang dewasa. Ketakutan seperti ini adalah salah dan tidak berasas kerana ia berdasarkan khayalan pengarah atau penerbit dan ia kebanyakannya menggalakkan unsur-unsur khurafat. Rancangan yang seperti itu sepatutnya diharamkan.
Oleh itu, penayangan tersebut tidak menjadi masalah dengan syarat guru berniat ikhlas untuk mendidik pelajar menjadi insan yang kembali kepada Penciptanya. Tidak cukup guru hanya untuk menakutkan pelajar dan seterusnya untuk melihat mereka menangis. Tetapi mesti melampaui semua itu iaitu perasaan seorang murabbi kepada anak didiknya.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment