11/12/09

Fenomena Fiqh Tanpa Dalil

Antara hujah utama kumpulan salafi kepada amalan umat Islam di Malaysia ialah mentaqlid Mazhab Syafie tanpa dalil dan hujah. Taqlid seumpama ini bagi mereka adalah dianggap taqlid buta. Fenomena kritikan seperti ini berlaku disemua negara umat Islam.

Bagi saya, ianya adalah bersifat pendekatan pengajaran. Kalau kita membaca sejarah perkembangan ilmu Islam seperti aqidah, nahu dan fiqh kita akan mendapati ilmu-ilmu ini melalui beberapa fasa yang utama iaitu :

1. Quran dan hadis di zaman Rasulullah
2. Penambahan ijtihad para sahabah dan tabiin
3. Pembentukan mazhab oleh imam-imam yang besar
4. Perluasan ijtihad di setiap mazhab bedasar methodologi imam-imam
5. Ringkasan terhadap keseluruhan ijtihad dan fatwa yang sangat luas
6. Ringkasan dalam bentuk matan agar mudah dihafal
7. Syarah kepada matan tersebut
8. Hasyiah (syarah kpd syarah matan)

Dari sejarah tersebut kita dapati bahawa pada peringkat ke lima dan seterusnya hampir sebahagian besar fakta ilmu yang disampaikan tidak disertakan dalil kerana untuk tujuan pendidikan dan keterbatasan masyarakat untuk mengambil ilmu dari sumber yang terlalu luas. Masyarakat belajar dan mengamalkannya turun temurun dengan penuh keyakinan terhadap mazhab yang di pegang oleh ulamak negara mereka. Mereka yakin bahawa semua yang dilakukan adalah berdasarkan dalil dan methodologi yang sangat ketat.

Amalan bermazhab sebegini bagaimanapun berikutnya menimbulkan taasub bahawa mazhab mereka sahaja betul dan mazhab lain salah kerana mereka tidak melihat perbezaan-perbezaan yang wujud dari asas dalil. Bila fenomena ini berlaku, maka ramai yang menyalahkan kaedah pengajaran ilmu tanpa dalil ini. Maka timbul lah ajakan kepada membebaskan diri dari taqlid, terus merujuk quran sunnah, tak perlu mazhab dan sebagainya.

Perseteruan bukan lagi antara mazhab-mazhab tetapi antara yang berpegang kpd mazhab dengan yang tanpa mazhab.

Kalau kita melihat senario apa yang telah saya bentangkan tadi ada sekurang-kurangnya 2 perkara yang perlu kita insafi
1. Untuk mengatakan bahawa fakta-fakta ilmu yang diamalkan oleh masayarakat hari ini tidak bersandarkan dalil adalah tidak benar kerana perkembangan ilmu di fasa ke lima dan seterusnya adalah dari fasa pertama hingga keempat yang padat dengan perbincangan dalil.
2. Untuk mengatakan bahawa mazhab yang sudah ada kini adalah telah lengkap dan kita tidak memerlukan pandangan di luar mazhab juga tidak tepat kerana tabiat Islam yang syumul dan waqie mununtut umat Islam untuk terus berfikir mencari penyelesaian terhadap keperluan kehidupan yang kadang-kadang kita terpaksa berfikir diluar kotak satu mazhab.

Oleh itu yang penting ialah kita berlapang dada dengan perbezaan sesama umat Islam dan tumpuan semestinya ditumpukan kepada umat Islam yang belum mengamalkan Islam dan kepada yang belum Islam agar mereka rasa terbimbing untuk menganut agama yang suci ini.

1 comment:

Anonymous said...

nice ustaz...i love ur style....please guide me