12/31/09

Konflik Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah ?

Beberapa penulisan dalam surat khabar terutama oleh Ustaz Uthman Elmuhammadi dan Yayasan Sofa telah mengkritik pendekatan Ibn Taimiah, Muhammad Abd Wahhab dan sealiran mereka tentang pembahagian tauhid kepada 3 iaitu tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma wa sifat.

Bagi saya kritikan tersebut adalah tidak wajar kerana ini adalah persoalan pendekatan dalam memahami aqidah atau tauhid. Pelbagai pendekatan telah dikemukakan oleh ulamak sepanjang sejarah umat ini. Oleh itu ia adalah perkara ijtihadi dan berkaitan dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran.

Pendekatan Ibn Taimiah ini telah diterima oleh ramai pihak pada masa kini. Buku-buku teks sekolah dan universiti di Malaysia dan negara-negara Islam lain sebahagian besarnya menggunakan pendekatan ini. Penerimaan ini adalah kerana ia merupakan satu penjelasan yang mudah tentang aqidah dan dapat dilihat secara praktikalnya dalam kehidupan. Gerakan Islam pula kini menggunakan pendekatan ini dalam program-program tarbiyyah dan dakwah mereka.

Ini berbeza dengan pendekatan lama iaitu sifat 20 yang agak bersifat falsafi. Saya kira 90% pelajar tidak memahami apa yang dipelajari dan dari cara penerangan guru juga saya dapati mereka sendiri tidak benar-benar memahami apa yang diajar. Mungkin ini disebabkan oleh pendekatan Imam Ashari dan Imam Maturidi pada masa mereka yang menghadapi ancaman falsafah dan ilmu kalam terhadap aqidah umat Islam. Hanya pelajar yang benar-benar berminat dan mempunyai masa yang lama dalam menuntut ilmu terutamanya pelajar di pondok-pondok yang dapat memahami aqidah Islam melalui pendekatan ini.

Kedua-dua pendekatan ini mempunyai sejarah latarbelakang yang panjang dan mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam sebagai Addin. Dan perkara yang diperselisihkan adalah bersifat furu’, ijtihadi dan pendekatan pengajaran. Oleh itu saya menyeru agar kedua-dua pihak tidak menyalahkan antara satu sama lain. Tumpuan sewajarnya diberikan kepada perkara-perkara usul dan disepakati. Kita mesti menonjolkan Islam adalah mudah dan menarik untuk difahami.

12/10/09

Sedikit Tentang Imam Zarkasyi Dari Anak Didiknya



Pada hujung minggu lalu saya sempat mengunjungi satu pusat pendidikan guru diperingkat sekolah menengah iaitu Pondok Modern Darussalam Gontor Indonesia. Saya pernah menulis dalam blog ini tentang pengasas pondok iaitu Kiyai Hj Imam Zarkasyi. Saya telah membaca beberapa buku tentang beliau.

Pada kunjungan saya itu, saya sempat menemui seorang bekas anak didik almarhum Imam Zarkasyi, iaitu Pak Jufri seorang pengusaha restoran yang berjaya di Bogor. Beliau ke Gontor kerana menziarahi 2 orang anaknya yang sedang belajar disitu.

Sebaik saya mengetahui bahawa beliau sempat menerima limpahan cahaya pendidikan dari Imam Zarkasyi saya terus bertanyakan tentang almarhum. Beliau sebak dan menunjukkan pada saya tangannya yang kelihatan bulu romanya tegak. Beliau menyatakan begitulah setiap kali jika ada orang yang bertanyakan tentang almarhum.

Banyak cerita-cerita yang diberikannya kepada saya terutama cerita disaat-sat akhir almarhum sakit dan bagaimana semua santri pondok yang melebihi seribu orang bangun dari tidur pada jam 3 pagi apabila mendapat tahu almarhum telah pulang kerahmatullah di rumah sakit umum di Bandar Madiun, Jawa Timur.