Beberapa penulisan dalam surat khabar terutama oleh Ustaz Uthman Elmuhammadi dan Yayasan Sofa telah mengkritik pendekatan Ibn Taimiah, Muhammad Abd Wahhab dan sealiran mereka tentang pembahagian tauhid kepada 3 iaitu tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma wa sifat.
Bagi saya kritikan tersebut adalah tidak wajar kerana ini adalah persoalan pendekatan dalam memahami aqidah atau tauhid. Pelbagai pendekatan telah dikemukakan oleh ulamak sepanjang sejarah umat ini. Oleh itu ia adalah perkara ijtihadi dan berkaitan dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran.
Pendekatan Ibn Taimiah ini telah diterima oleh ramai pihak pada masa kini. Buku-buku teks sekolah dan universiti di Malaysia dan negara-negara Islam lain sebahagian besarnya menggunakan pendekatan ini. Penerimaan ini adalah kerana ia merupakan satu penjelasan yang mudah tentang aqidah dan dapat dilihat secara praktikalnya dalam kehidupan. Gerakan Islam pula kini menggunakan pendekatan ini dalam program-program tarbiyyah dan dakwah mereka.
Ini berbeza dengan pendekatan lama iaitu sifat 20 yang agak bersifat falsafi. Saya kira 90% pelajar tidak memahami apa yang dipelajari dan dari cara penerangan guru juga saya dapati mereka sendiri tidak benar-benar memahami apa yang diajar. Mungkin ini disebabkan oleh pendekatan Imam Ashari dan Imam Maturidi pada masa mereka yang menghadapi ancaman falsafah dan ilmu kalam terhadap aqidah umat Islam. Hanya pelajar yang benar-benar berminat dan mempunyai masa yang lama dalam menuntut ilmu terutamanya pelajar di pondok-pondok yang dapat memahami aqidah Islam melalui pendekatan ini.
Kedua-dua pendekatan ini mempunyai sejarah latarbelakang yang panjang dan mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam sebagai Addin. Dan perkara yang diperselisihkan adalah bersifat furu’, ijtihadi dan pendekatan pengajaran. Oleh itu saya menyeru agar kedua-dua pihak tidak menyalahkan antara satu sama lain. Tumpuan sewajarnya diberikan kepada perkara-perkara usul dan disepakati. Kita mesti menonjolkan Islam adalah mudah dan menarik untuk difahami.
No comments:
Post a Comment