11/5/08

Akaun Emas di Bank

Ramai orang bertanya tentang perkara ini.
Berikut saya berikan jawapan daripada Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Setelah melihat serba ringkas info akaun pelaburan emas di kedua-dua bank (Public Bank dan Maybank) terbabit melalui web mereka. Saya kira Maybank menawarkan akaun pelaburan emas yang HALAL dengan TIGA lagi syarat tambahan lagi, iaitu :
1- JANGAN DIGUNAKAN UNTUK AKTIVTI RIBA : mestilah emas sebenar (fizikal) yang berada simpanannya bagi pihak pelanggan tadi TIDAK digunakan untuk kegunaan aktiviti ribawi mereka. Justeru, satu jaminan atau pengesahan dari pihak bank mestilah diperolehi sama ada secara lisan atau bertulis atau disahkan oleh Majlis Syariah bank berkenaan. Apabila kita menyimpan emas fizikal yang telah kita beli di bank tersebut, aqad simpanan itu juga sepatutnya mesti dikenal pasti dengan jelas. Apakah jenis aqadnya? Adakah ia Wadiah? atau Qard dan sebagainya.
2- JUMLAH EMAS MENCUKUPI KETIKA TRANSAKSI : Mestilah dipastikan wujud jumlah emas mencukupi ketika proses jual beli dibuat pada satu-satu masa. Maksud saya, sebagai contoh : Bank mempunyai 100 kilo emas sahaja, dalam masa yang sama (satu waktu), 100 kilo emas itu digunakan untuk dua atau lebih pelanggan yang berlainan. Pelanggan Ahmad membeli 100 kilo emas pada jam 2.30 petang, demikian juga sdr Ah Chong tepat jam 2.30 petang juga membeli dan membuka akaun yang sama di kaunter berlainan, padahal bank hanya mempunyai 100 kilo emas sahaja. Tatkala itu, transaksi orang kedua tidak sah. Hanya yang pertama sahaja yang sah.
3- CARA PEMBAYARAN YANG HALAL : Pembayaran yang dibuat oleh pihak pelanggan pula WAJIBLAH menggunakan sama ada tunai, debit akaun sertamerta, kad debit dan kad kredit Islam bank tempatan, cek tempatan. Sebarang pembayaran menggunakan cek antarabangsa dan kad kredit Islam yang mengambil masa lebih 3 hari untuk settlement adalah TERLARANG menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa. Mengapa 3 hari? ia adalah tempoh maksimum menurut ‘uruf bagi memastikan syarat ‘Taqabud fil hal' tercapai, ia adalah fatwa yang dipetik dari pandangan Mazhab Maliki dan juga fatwa kebanyakan ulama fiqh sedunia, termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah. 4- PEMEGANG AKAUN PELABURAN EMAS MESTILAH MEMBAYAR ZAKAT : Apabila cukup hawl atau tempoh setahun bulan Islam dan apabila nisab simpanannya mencapai atau melebihi nisab wajib keluar zakat emas iaitu 85 gram. Untuk kira-kira buka di sini. Namun akaun pelaburan Public Bank saya kurang pasti kerana tidak dinyatakan sama ada sijil atau bukti pembelian itu boleh ditukarkan kepada emas fizikal pada bila-bila masa yang dikehendaki. Malah penyoal menyatakan beliau telah menelefon pihak bank dan terbukti sijil atau bukti pembelian itu tersebut TIDAK BOLEH ditukar kepada emas fizikal. Tatkala itu, bagi saya transaksi ini bermasalah dari sudut hukum Islam. Jika sijil tersebut tidak boleh ditukar kepada emas fizikal, tatkala itu ia memberikan kesan kepada proses ‘Taqabud al-hukmi' yang disyaratkan dalam jual beli item ribawi dan merosakkan aqad ini, dalam kes ini antara emas dan wang Ringgit Malaysia.
KESIMPULAN Bagi sesiapa yang ingin membuka akaun ini, saya nasihatkan menyemak terlebih dahulu perkara yang telah saya sebutkan di atas. Ditambah pula, akaun pelaburan emas dan kijang emas ini tidak diletakkan di bawah skim pelaburan Islam maybank dan public bank. Ia sekali lagi menimbulkan tandatanya. Saya tidak ada kemudahan untuk menyemak hal itu ketika ini kerana kesukaran komunikasi dengan pihak bank terbabit, terutamanya berada di perantauan. Jika anda sudah punyai jawapan kepada syarat dan persoalan yang saya utarakan di atas. Baik jika dapat anda memaklumkan kepada saya dengan tepat dan jitu. Saya juga berminat untuk membuka akaun ini jika semua persoalan di atas telah LULUS.

Sekian Zaharuddin Abd Rahman http://www.zaharuddin.net/

1 comment:

Nur AfiQah MM said...

terima kasih...

kiranya, kalau dah lebih 85 gram, kener keluarkan ikut fizikal emas ker?
kalau pakai duit jer x bleh yea?