6/17/09

Jenazah Dr Fathi Yakan selamat dikebumikan

Jenazah Syeikh Dr Fathi Yakan pengasas Jamaah Islam (cawangan ikhwanul Muslimin) di lubnan telah selamat dikebumikan di bandar Tarablus selatan Lubnan selepas solat asar/Ahad. Jenazah beliau telah diiringi secara rasmi dan manusia dalam keadaan kesedihan memenuhi masjid Tinal (tempat jenazah disembahyangkan).

Diantara yang yang mengiringi jenazah beliau adalah wakil Presiden syria, ketua dewan rakyat Nabih Barri, pimpinan HAMAS Sami Khatir yang mewakili ketua Biro Politik HAMAS Khalid Masy'al, pimpinan pergerakan Jihad Islami Abu Imad ar-Rifaie, timbalan setiausaha agung Jemaah Islam Ibrahim Misti dan wakil dari Hizbullah.

Syeikh Malik as-Syiar yang mengimamkan jenazah beliau telah berkata:


إن طرابلس مدينة العلم والعلماء، ومعها العالم الإسلامي بأسره تودع رجلاً من كبارها وعلمًا من أعلامها رائد الحركة الإسلامية ومؤسسها، من أفنى عمره وحياته في سبيل الدعوة إلى الله عز وجل


"Sesungguhnya Tarablas adalah bandar ilmu dan ulama. Seluruh dunia Islam telah mengucapkan selamat tinggal kepada seorang tokoh dan panji Umat Islam. Beliau juga adalah pelopor dan pengasas bagi Gerakan Islam yang telah menghabiskan kehidupannya untuk berdakwah kepada Allah."

Ulasan: Kehilangan ulama adalah satu musibah bagi Umat Islam dan tanda diangkatnya ilmu diakhir zaman. Hasan Basri berkata:


مَوْتُ العَالِمِ ثَلْمَةٌ فِي الإِسلامِ لاَ يَسُدُّهاَ مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ


"Matinya seorang alim adalah suatu lubang dalam Islam. Tidak akan dapat di tutup selama-lamnya." (Hr Darimi 329 dan Baihaqi dlm Syu'abul Iman 1719)

Ingatan Saya Bersama Syeikh Fathi Yakan

Pada satu petang 13 Jun 2009 saya mendapat satu SMS dari sahabat baik saya Dr Tg Shahrom tentang kembalinya kerahmatullah Almarhum Us Fathi Yakan. Saya terus memforward SMS tersebut kepada sahabat saya Sdr Amran Sakir. Saya yakin beliau akan memanjangkan mesej tersebut. Selepas itu tidak putus-putus saya menerima perkhabaran tersebut hinggalah lewat malam.

Saya mempunyai 3 sebab untuk sentiasa mengingati Syeikh Fathi Yakan.

Yang pertama kerana buku beliau 'maza ya'ni intimai lil Islam' bahagian pertama yang terjemahannya oleh Us Alias Othman 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' adalah buku yang menjadi teks usrah saya semasa di tingkatan 4 di Kolej Islam Kelang. Waktu itu masih dalam tulisan taip dan belum diterbitkan oleh Pustaka Salam. Bolehlah saya katakan bahawa buku tersebut telah membawa saya kepada lebuhraya fikrah Islam yang sangat luas.

Yang kedua kerana bahagian kedua buku tersebut iaitu 'maza ya'ni intimai lil harakatil islamiyyah' adalah menjadi bahan wacana perbincangan saya bersama sahabat-sahabat saya di Nilam Puri Kelantan. Wacana tersebut bersama dengan amal jama'i disana sangat mengesani kefahaman dan sikap saya tentang dakwah hingga ke hari ini.

Yang ketiga ialah apabila saya meletakkan satu azam yang tinggi untuk memahami pembacaan buku bahasa Arab, saya telah memilih buku 'Qawaribun Najah fi hayati Duah' karangan almarhum Fathi Yakan untuk membacanya sehingga habis dan memahaminya dengan merujuk kepada kamus. Buku tersebut bersama buku 'Usul Fiqh' oleh Dr Abd karim Zaidan semasa di Nilam Puri dan berikutnya buku 'Usul Da'wah' juga Dr Abd Karim Zaidan semasa di Morocco telah menjadikan saya dapat membaca kitab arab dengan yakin. Keupayaan saya membaca buku arab adalah merupakan terjunan saya kelautan ilmu yang sangat luas tanpa tepinya.

Saya bukan keseorangan dalam mempunyai pengalaman ruhi dan fikri bersama al marhum. Saya kira terlalu ramai berkongsi pengalaman tersebut bersama saya.

Semoga Allah memberi penghidupan yang baik buat Al Marhum Ustaz Fathi Yakan di alam baqa sana.

6/13/09

Permudahkan Perkahwinan

Kepada pemuda pemudi, segerakan perkahwinan anda kerana hidup pada masa kini penuh dengan cabaran.

Kepada masyarakat terutamanya ibu bapa, permudahkan perkahwinan anak-anak anda.

Ambalat : Carilah Penyelesaian Segera

Kita tidak mahu isu perairan Ambalat mengeruhkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia. Kita mengalu-alukan usaha yang sedang dibuat untuk penyelesaian segera.

Malaysia dan Indonesia adalah dua saudara serumpun dan seagama. Terlalu banyak kekuatan antara dua negara ini. Kalau kita berpecah segala kekuatan ini tiada maknanya.

Saya bimbang ada tangan-tangan ghaib asing yang mempermainkan isu ini dengan menggunakan media.

Sama-sama kita berdoa agar masalah ini segera selesai.

Tragedi Selatan Thailand

Kita terkejut dengan tragedi yang menimpa saudara Islam kita di Selatan Thailand apabila mereka ditembak ketika sedang menunaikan solat Isyak berjamaah disebuah masjid disana. InsyaAllah mereka telah mendapat syahid dan kematian yang mulia. Tidakkah mati ketika dalam solat itu adalah impian semua daripada kita.

Kita mengutuk sekeras-kerasnya jenayah yang tidak berperi kemanusiaan ini.

Kita mengucapkan takziah kepada keluarga syuhada yang terkorban. Semoga mereka sabar menghadapi ujian yang menimpa.

Kita juga menuntut agar penjenayah yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dan mendapat hukuman yang sewajarnya.

6/9/09

Sebaiknya 12 Matapelajaran

Saya berpengalaman sebagai guru disekolah selama 10 tahun, juga pernah beberapa kali menjadi kaunselor pelajar. Dari pengalaman tersebut saya mencadangkan agar had maksima matapelajaran yang boleh diambil diperingkat SPM ialah 12.

Ini kerana dengan itu kita akan dapat memastikan 6 matapelajaran teras akan dapat dikekalkan. Juga pelajar berpeluang mengambil 6 matapelajaran lain sesuai dengan pengkhususan mereka.

6/8/09

Fatwakan Sahaja Ah Long Haram

Majlis Fatwa sewajarnya memfatwakan bahawa meminjam dari ah long adalah haram. Ini kerana :
1. Sistem bunga yang digunakan adalah riba yang haram.
2. Si peminjam dan keluarga terancam nyawa, keselamatan dan kehormatan. Islam melarang kita mencampakkan diri kearah kebinasaan.
3. Sistem ah long ini juga terlibat dengan jenayah lain yang haram iaitu pelacuran, judi dan rompakan.
4. Sistem ini menghidupkan peluang untuk orang tidak memiliki wang berjudi.
5. Sistem ini menyuburkan budaya berhutang. Budaya ini terus akan menjerumus masyarakat kepada riba.

RIBA ADALAH MUSUH UMAT ISLAM

Matapelajaran Teras Dalam SPM

Kerajaan terus bertegas agar calon SPM hanya mengambil 10 matapelajaran. Apabila bantahan dibuat berkenaan terhadnya ruang untuk memilih matapelajaran elektif terutama matapelajaran bahasa dan sastera, maka Pak Menteri mengumumkan bilangan matapelajaran teras akan dikurangkan dari 6 kepada 4 sahaja.

6 matapelajaran teras kini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam/Moral dan sejarah. Saya kira jika 4 shj matapelajaran yang teras maka yang bakal tersingkir sudah pasti Pend Islam/Moral dan sejarah.

Jika ini berlaku, sistem pendidikan kita akan undur kebelakang 30 tahun iaitu ke zaman saya mengambil SRP. Rakan2 saya disekolah biasa diberi pilihan untuk mengambil Peng Agama Islam atau lukisan.

Justeru pihak Kementerian Pelajaran harus memikir semasak-masaknya agar generasi kita tidak terkorban banyak kali.

6/4/09

3 Tokoh Pendidikan

Sebagai seorang peneliti di bidang pendidikan, saya sedang membaca biografi 3 orang tokoh dari Indonesia iaitu Buya Hamka, Pak Natsir dan Kiyai Imam Zarkashi. Saya sangat asyik apabila membaca sejarah dan pemikiran mereka terutama yang ditulis oleh anak murid mereka. Apabila membaca pada waktu malam, kadang-kadang tanpa saya sedari, jam telah menunjukkan angka 1 dan 2 pagi.

Menariknya ketiga-tiga tokoh ini tidak pernah menyambung pelajaran ke peringkat universiti tetapi sangat berjaya dibidang pendidikan. Terlalu banyak tesis diperingkat sarjana dan kedoktoran membicarakan pelbagai sisi dalam hidup mereka. Mereka juga telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dari beberapa Universiti (USM kepada Pak Natsir dan UKM kepada Buya Hamka) kerana mengenangkan jasa mereka dibidang pendidikan yang sangat berpijak kepada bumi yang nyata.

Buya Hamka terkenal dengan karya-karya besar beliau terutamanya Tafsir Al Azhar dan Falsafah Hidup. Beliau menghidupkan beberapa majalah dan akhbar di Indonesia yang dapat membangunkan pemikiran dan aqidah umat. Tazkirah dan kuliahnya di radio dan TV sangat mengesankan. Sehingga Pak Proemadya Ananta Toer yang berfaham komunisme dan sangat mengkritik Hamka telah mengutus anak perempuannya kepada Buya agar mengislamkan bakal suaminya.

Pak Natsir adalah antara pejuang kemerdekaan Indonesia. Pernah menjadi Perdana Menteri. Pengasas Partai Islam iaitu Masyumi dan NGO pendidikannya adalah Pendis (Pendidikan Islam) yang merupakan institusi Islam dari tadika hingga keperguruan tinggi.

Manakala Kiyai Imam Zarkasyi sangat berjaya dengan karya monumentalnya 'Pondok Modern Darussalam Gontor'. Pondok ini adalah warisan dari orang tuanya disebuah perkampungan Desa Gontor di Jawa Timur. Beliau telah membuat rebranding hasil pendedahan dan pengalaman pendidikan yang diperolehinya di Solo dan Padang Panjang. Pondok ini sangat berjaya kini dengan lebih dari 15 cawangan. Alumninya juga telah membangunkan beratus pesantren yang mengambil model gontor. Imam Zarkasyi pernah meletakkan satu impian iaitu 'Seribu Gontor'.

Saya akan cuba membicarakan kehebatan 3 tokoh ini dikesempatan lain. Saya juga menyeru para guru untuk membaca biografi mereka.

6/1/09

Selamat Hari Guru Buat Guru2 Saya di Maahad Hamidiah Kajang

Entah macamana tanpa kesedaran, saya telah tertinggal menyebut guru2 saya di Maahad Hamidiah Kajang semasa saya mengucapkan selamat hari guru tempoh hari. Saya mengucapkan banyak kemaafan kepada mereka. Saya juga mengucapkan terima kasih pada seorang sahabat Hafidzms (saya tak perasan siapa beliau) yang mengingatkan saya dalam komen beliau terhadap posting tersebut.

Maahad Hamidiah tidak mungkin terlepas dari ingatan saya. Disitu saya mula mendalami Bahasa Arab, mengecapi nikmat tinggal diasrama dan tempat saya menyemat rapi semangat untuk berjaya dalam pelajaran. Guru-guru bahasa arab saya disana iaitu Ustazah Hindun (ting 1), Ustaz Amir (Ting 2) dan Ustaz Ismail Abdullah (ting 3) tidak akan saya lupa hingga ke akhir hayat.