Pada satu petang 13 Jun 2009 saya mendapat satu SMS dari sahabat baik saya Dr Tg Shahrom tentang kembalinya kerahmatullah Almarhum Us Fathi Yakan. Saya terus memforward SMS tersebut kepada sahabat saya Sdr Amran Sakir. Saya yakin beliau akan memanjangkan mesej tersebut. Selepas itu tidak putus-putus saya menerima perkhabaran tersebut hinggalah lewat malam.
Saya mempunyai 3 sebab untuk sentiasa mengingati Syeikh Fathi Yakan.
Yang pertama kerana buku beliau 'maza ya'ni intimai lil Islam' bahagian pertama yang terjemahannya oleh Us Alias Othman 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' adalah buku yang menjadi teks usrah saya semasa di tingkatan 4 di Kolej Islam Kelang. Waktu itu masih dalam tulisan taip dan belum diterbitkan oleh Pustaka Salam. Bolehlah saya katakan bahawa buku tersebut telah membawa saya kepada lebuhraya fikrah Islam yang sangat luas.
Yang kedua kerana bahagian kedua buku tersebut iaitu 'maza ya'ni intimai lil harakatil islamiyyah' adalah menjadi bahan wacana perbincangan saya bersama sahabat-sahabat saya di Nilam Puri Kelantan. Wacana tersebut bersama dengan amal jama'i disana sangat mengesani kefahaman dan sikap saya tentang dakwah hingga ke hari ini.
Yang ketiga ialah apabila saya meletakkan satu azam yang tinggi untuk memahami pembacaan buku bahasa Arab, saya telah memilih buku 'Qawaribun Najah fi hayati Duah' karangan almarhum Fathi Yakan untuk membacanya sehingga habis dan memahaminya dengan merujuk kepada kamus. Buku tersebut bersama buku 'Usul Fiqh' oleh Dr Abd karim Zaidan semasa di Nilam Puri dan berikutnya buku 'Usul Da'wah' juga Dr Abd Karim Zaidan semasa di Morocco telah menjadikan saya dapat membaca kitab arab dengan yakin. Keupayaan saya membaca buku arab adalah merupakan terjunan saya kelautan ilmu yang sangat luas tanpa tepinya.
Saya bukan keseorangan dalam mempunyai pengalaman ruhi dan fikri bersama al marhum. Saya kira terlalu ramai berkongsi pengalaman tersebut bersama saya.
Semoga Allah memberi penghidupan yang baik buat Al Marhum Ustaz Fathi Yakan di alam baqa sana.
No comments:
Post a Comment