Sebagai seorang peneliti di bidang pendidikan, saya sedang membaca biografi 3 orang tokoh dari Indonesia iaitu Buya Hamka, Pak Natsir dan Kiyai Imam Zarkashi. Saya sangat asyik apabila membaca sejarah dan pemikiran mereka terutama yang ditulis oleh anak murid mereka. Apabila membaca pada waktu malam, kadang-kadang tanpa saya sedari, jam telah menunjukkan angka 1 dan 2 pagi.
Menariknya ketiga-tiga tokoh ini tidak pernah menyambung pelajaran ke peringkat universiti tetapi sangat berjaya dibidang pendidikan. Terlalu banyak tesis diperingkat sarjana dan kedoktoran membicarakan pelbagai sisi dalam hidup mereka. Mereka juga telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dari beberapa Universiti (USM kepada Pak Natsir dan UKM kepada Buya Hamka) kerana mengenangkan jasa mereka dibidang pendidikan yang sangat berpijak kepada bumi yang nyata.
Buya Hamka terkenal dengan karya-karya besar beliau terutamanya Tafsir Al Azhar dan Falsafah Hidup. Beliau menghidupkan beberapa majalah dan akhbar di Indonesia yang dapat membangunkan pemikiran dan aqidah umat. Tazkirah dan kuliahnya di radio dan TV sangat mengesankan. Sehingga Pak Proemadya Ananta Toer yang berfaham komunisme dan sangat mengkritik Hamka telah mengutus anak perempuannya kepada Buya agar mengislamkan bakal suaminya.
Pak Natsir adalah antara pejuang kemerdekaan Indonesia. Pernah menjadi Perdana Menteri. Pengasas Partai Islam iaitu Masyumi dan NGO pendidikannya adalah Pendis (Pendidikan Islam) yang merupakan institusi Islam dari tadika hingga keperguruan tinggi.
Manakala Kiyai Imam Zarkasyi sangat berjaya dengan karya monumentalnya 'Pondok Modern Darussalam Gontor'. Pondok ini adalah warisan dari orang tuanya disebuah perkampungan Desa Gontor di Jawa Timur. Beliau telah membuat rebranding hasil pendedahan dan pengalaman pendidikan yang diperolehinya di Solo dan Padang Panjang. Pondok ini sangat berjaya kini dengan lebih dari 15 cawangan. Alumninya juga telah membangunkan beratus pesantren yang mengambil model gontor. Imam Zarkasyi pernah meletakkan satu impian iaitu 'Seribu Gontor'.
Saya akan cuba membicarakan kehebatan 3 tokoh ini dikesempatan lain. Saya juga menyeru para guru untuk membaca biografi mereka.
No comments:
Post a Comment