1/4/10

Subsidi Gula


Rakyat Malaysia menyambut tahun baru dengan pengumuman kerajaan tentang kenaikan harga gula sebanyak 20 sen satu kilogram. Kenaikan ini menurut Perdana Menteri akan menjimatkan belanja kerajaan sebanyak 1 bilion ringgit setahun. PM seterusnya meminta rakyat mengubah tabiat penggunaan gula dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Saya bersetuju dengan kenaikan harga gula ini jika kerajaan benar-benar dapat berjimat dan ini akan mengurangkan hutang negara. Hutang negara kini terlalu besar yang akan ditanggung oleh kita dan generasi akan datang. Hutang ini sebahagian besarnya adalah secara konvensional yang berasaskan riba. Kerajaan mesti berusaha membayar secepat mungkin hutang ini dan tidak membuat hutang-hutang yang baru.

Tetapi jika sekiranya penjimatan ini akan digunakan untuk projek-projek lain dengan alasan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara maka saya tidak bersetuju dengan kenaikan harga gula. Kenaikan ini akan mempunyai kesan dominonya dalam kehidupan masyarakat. Makanan dan minuman kita yang menggunakan gula sudah pasti akan turut naik. Ini bermakna kos hidup akan terus meningkat. Tiada makna pertumbuhan ekonomi meningkat jika inflasi juga meningkat.

Pertumbuhan ekonomi yang meningkat hanya indah diatas laporan ekonomi setiap suku tahun. Ia hanya bermakna kepada kerajaan yang sedang memerintah. Tetapi pertumbuhan ini bagaikan tidak dirasai oleh rakyat kerana mereka terus dihimpit dengan kenaikan harga barang.

Satu lagi perkara yang mesti kita fikirkan secara serius ialah keterlibatan negara yang berterusan dengan hutang yang bersifat riba. Selagi aspek ini masih ujud maka tiada keberkatan dalam kehidupan berekonomi negara ini. Kita akan terus sengsara. Kita sentiasa dimedan peperangan. Musuh kita dalam peperangan ini ialah Allah. Inilah yang dinyatakan oleh Allah bagi pengamal-pengamal riba.

Adakah kita akan berjaya dalam peperangan yang musuhnya ialah Allah, Pemilik, Penguasa dan Pentadbir bagi alam ini ?.

No comments: