11/6/09

Adakah Anda Akan Berkorban ?

Satu perkara yang menjadi ingatan manis buat saya sepanjang 5 kali berhari raya aidil adha di Morocco ialah setiap rumah disana akan membuat korban sekurang-kurangnya seekor kambing. Masyarakat arab Morocco bukanlah dari kalangan mereka yang senang seperti masyarakat arab di negara-negara teluk. Ada kalangan mereka yang kais pagi makan pagi, tetapi tetap menyembelih korban pada pagi hari raya tersebut.

Pada pandangan saya, masyarakat muslim di Malaysia jauh lebih senang daripada masyarakat di Morocco. Tapi apa yang mendukacitakan saya ialah menyembelih korban bukan menjadi amalan kita di sini. Para pembaca boleh perhatikan jumlah yang ikut korban nanti di Masjid dan surau. Satu masjid yang besar yang masyrakat islam disekelilingnya berjumlah ratusan ribu hanya berkorban 10 ekor lembu. Yang bermakna hanya 70 orang sahaja yang terlibat berkorban. Katakanlah jika dicampur semua surau yang ada disitu jumlah lembu yang dikorban sebanyak 100 ekor. Maknanya baru 700 orang yang berkorban. Dimana yang lain ?.

Saya menyeru kepada pembaca terutamanya pelajar2 saya yang telah berkerja. Marilah kita berkorban pada tahun ini. Fiqh membenarkan kita berkorban satu keluarga untuk satu bahagian. Marilah kita mengejar ganjaran yang besar dari korban.

Saya catatkan dibawah ini pensyariatan dan kelebihan berkorban untuk ingatan kita bersama.

Pensyariatan Qurban

1.Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 :
Maksudnya : "Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

2.Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 :
Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".

3.Sabda Rasulullah S.A.W.:
Maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat Tirmidzi)

FADHILAT IBADAH QURBAN

Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban ini amat besar antaranya:

1.Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".
(Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

2.Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah:
Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".
(Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

3.Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.
Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla."
(Hadis riwayat Thabrani)

4.Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:
Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."
(Hadith riwayat Tirmidzi)

5.Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".

No comments: