4/17/09

Pendapat Ulamak Tentang Non Muslim Membaca AlQuran

Sebagaimana yang dinyatakan oleh ramai ulamak bahawa terdapat perselisihan tentang hukum non muslim membaca al Quran. Namun disini saya memetik beberapa pendapat ulama-ulama silam termasuk yang dari nusantara yang bermazhab Syafii yang membolehkan mereka membaca al-Quran. Fatwa-fatwa mereka ini boleh dimanfaatkan untuk bertujuan dakwah terhadap non-muslim pada masa kini.

1. Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini menjelaskan:"Adapun orang kafir, maka dia tidak ditegah daripada membaca al-Quran, kerana dia tidak beriktikad tentang haramnya perbuatan demikian, sebagaimana kata al-Mawardi" (Mughni al-Muhtaj, jilid 1 halaman 72)

2. Pengarang kitab I'anah al-Talibin telah memetik keterangan dari kitab Busyra al-Karim seperti berikut:"maka tidak ditegah orang kafir daripada membaca al-Quran, jika dia tidak bersikap menentang dan diharap dia akan memeluk islam" (I'anah al-Talibin, jilid 1 halaman 85)

3. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkata:"dan hanyasanya ditegah kafir daripada menyentuh mashaf kerana haram menyentuh dia itu terlebih muakkad dengan dalil haram menanggung dia serta hadas dan haram menyentuh ia dengan najis bersalahan dengan membaca Quran kerana harus membaca dia serta hadas dan harus membaca dengan mulut yang kena najis" (Sabil al-Muhtadin, jilid 1, halaman 112)

4. Syeikh Daud al-Fatani berkata:"dan keluar dengan kata muslim orang kafir maka jangan ditegahkan dia daripada membaca Quran kerana tiada iktikad akan haramnya tetapi jika kita harap akan islamnya" (Bughyah al-Tullab, jilid 1, halaman 49)

Nyata dari 2 buah buku iaitu I'anah al-Talibin dan Bughyah al-Tullab bahawa non muslim boleh membaca al Quran dengan maqasidnya kita mengharapkan kefahaman mereka terhadap Islam.

Pandangan ini dikira cocok dengan yang dipegang oleh ramai ulamak dalam gerakan Islam di Malaysia kini terutamanya TG Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dan ia pun agak mesra dengan kehendak ramai non muslim yang berminat sebagaimana kenyataan dan tulisan mereka dalam akhbar.

Namun oleh kerana ia dikira merupakan antara perkara khilaf maka prinsip adab ikhtilaf mesti kita hormati.

Wallahua'lam.

1 comment:

Anonymous said...

Jazakaallah kerana membuat kajian isu isu semasa dan isu masyarakat.

Ramai juga pelajar bukan Islam yg mengambil pendidikan Islam di sekolah sekolah dan keputusan exam setengah dari mereka lebih baik dari anak anak melayu yg lahir Islam.

Ade juga di antara mereka ini akhirnya di mendapat hidayah dari Allah dan memeluk Islam.

Anak anak melayu yg menjauhkan diri dari Al Quran akhirnya menjadi mat rempet dan black metal memijak dan membakar Al Quran.